Pages - Menu
▼
Friday, 22 August 2014
KONGRES AMK Tegang, 9 Exco Yang Baru Dipilih Bertindak Keluar Dewan Persidangan
SHAH ALAM 22 Ogos - Sedikit ketegangan tercetus di penghujung Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ke 10 selepas sembilan exco yang baru dipilih pada pemilihan Mei lalu bertindak keluar dari dewan persidangan selepas menerima watikah perlantikan.
Kesembilan-sembilan exco terbabit meninggalkan meja persidangan masing-masing sejurus selesai sesi bergambar dan tidak menghiraukan arahan Speaker yang meminta mereka untuk berada di tempat masing-masing.
Salah seorang ahli AMK ketika kejadian telah memberitahu Rakyat News, tindakan keluar tersebut berlaku selepas exco-exco yang keluar terbabit dikatakan 'tidak sebulu' dengan Ketua AMK yang baru, Nik Nazmi Nik Ahmad.
AMK dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan besar dan ketiga-tiga kumpulan tersebut dipimpin oleh ketua tersendiri serta dipercayai tidak boleh bekerjasama bersama-sama.
Nik Nazmi yang ditemui selepas itu menjelaskan, beliau tidak menganggap tindakan tersebut sebagai suatu isu yang besar kerana baginya apa yang penting untuk beliau sekarang adalah untuk berkhidmat untuk rakyat.
Katanya, setiap ahli exco yang telah dilantik sepatutnya melupakan kekecewaan dan sentiasa melangkah ke hadapan sekaligus memperkukuhkan lagi parti.
"Banyak lagi kerja untuk dilakukan oleh kita (AMK), jadi mesej saya senang, mari kita buat kerja, ketegangan yang tercetus akibat pemilihan itu sepatutnya kita lupakan sahaja.
"Saya jangkakan ia tidak akan kekal sebegini untuk tempoh yang lama, kalau hendak merajuk pun berapa lama, kita perlu terus melangkah ke hadapan kerana terdapat banyak lagi isu rakyat yang perlu kita selesaikan," katanya.
SUMBER: RAKYAT NEWS
No comments:
Post a Comment