Pages - Menu

Wednesday, 12 November 2014

IMIGRESEN MASIH BANYAK ALASAN.... HANYA TUNJUK MUKA SECARA BERMUSIM


Antara jabatan yang paling penting bagi pra-keselamatan dalam negara adalah Imigresen. Inilah jabatan yang akan menapis dan memantau kedatangan orang asing di Malaysia. Bagaimanapun, Jabatan Imigresen Malaysia bagaikan hidup segan mati tak mahu.

Baru-baru ini berlaku bencana alam di Cameron Highland kesan daripada keserakahan dan kehalobaan golongan tertentu yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit bagi membolehkan mereka meneroka secara haram. Oleh kerana berlaku kematian di Cameron Highland yang sudah semakin botak dan tidak berpokok, maka muncullah 'Drama Cameron Highland'.

Angkatan Tentera Malaysia telah diminta untuk membuat rondaan di kawasan berkenaan. Sekaligus memberi tanda bahawa isu tersebut dipandang besar dan penting memandangkan operasi ketenteraan bukannya secara mudah boleh dibuat dan diisytihar. Penggunaan angkatan tentera bermaksud, Kerajaan benar-benar serius memerangi pendatang asing.

Imigresen juga melancarkan 'serangan' secara besar-besaran. Beberapa orang pemimpin negara mula bercakap besar dan berikrar untuk memerangi PATI secara habis-habisan.

Malangnya, ia cumalah drama semata-mata. Tiada kesungguhan seperti yang dapat dibuktikan dalam beberapa IKRAR yang lepas. Pembanterasan PATI hanya dilakukan secara bermusim dan hanya kedengaran apabila ada isu besar.

Selepas isu tersebut reda, keadaan kembali seperti asal. Di sana sini boleh kelihatan orang asing dan pendatang tanpa izin yang bebas melakukan segala-galanya, walaupun di atas kertas, pendatang-pendatang asing yang bekerja di negara ini, perlu mematuhi peraturan permit mereka.

Di kawasan-kawasan hutan di sekitar Pahang seperti Cameron Highland, Sri Jaya, Maran, Kuala Lipis, dan sebagainya, ramai orang asing secara bebas dan berleluasa menceroboh dan membuka perkampungan haram. Sudah bertahun-tahun tetapi tiada sebarang tindakan daripada Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri.

Itu belum lagi membabitkan bandar-bandar besar atau sub-bandar. Walaupun dari semasa ke semasa, ada operasi yang dilakukan tetapi agak menghairankan kerana tidak lama selepas itu, pendatang asing yang sememangnya diketahui datang ke negara ini secara 'gelap' sudah kelihatan semula di kawasan tempat tinggalnya.

Apabila ditanya kepada pendatang asing tersebut, jawapan mereka mudah dan rasa-rasanya semua orang tahu bagaimana mereka boleh dilepas dan dibebaskan.

Tiada negara di dunia ini yang begitu bebas seperti Malaysia. Malaysia tidak memerlukan perang besar atau dijatuhkan bom nuklear untuk dihapuskan dari peta dunia. Cukup dengan RM, RM dan RM serta kebebasan pendatang asing yang berlagak seperti tuan besar di negara ini. Dan pada masa yang sama, rakyat tempatan pula mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan besar menerusi pemerdagangan manusia secara langsung dan tidak langsung membabitkan orang asing.

Alasan paling trending apabila cuba menghalalkan kehadiran PATI ialah, 'siapa yang nak buat kerja-kerja rencam'?

Dan akhirnya Kementerian Sumber Manusia dengan bantuan Imigresen pun, melonggarkan peraturan. Sedangkan pada masa yang sama, rakyat semakin menyampah dengan drama demi drama yang tersaji termasuklah apabila pihak pembangkang pula menggunakan kesempatan itu untuk menambahkan lagi ketegangan menerusi isu, PEMBERIAN MY KAD, pengundi hantu dan sebagainya.

Sampai bila sebenarnya drama-drama retorik sebegini akan berterusan?

1 comment:

  1. kerja menangkap pendatang seperti kerja bermusim bagi agensi yg terlibat ... tak hairanlah pati tak takut dan naik lemak... tambahan pula ada dalang2 yg membantu dan melindungi mereka.....kalau dipenjara pun masih lagi dapat makan sedap dan dilayan bak raja mengalahkan layanan banduan di negara mereka sendiri

    ReplyDelete