Pages - Menu

Thursday, 17 September 2015

Di Sebalik Kejayaan HIMPUNAN BAJU MERAH, Terselit Kegagalan UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Para pecacai DAP termasuklah portal-portal pro-DAP cuba memperkecil-kecilkan lautan Baju Merah yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam. Serangan secara psikologi dengan gambaran bahawa Himpunan Baju Merah kurang mendapat sambutan dengan jumlah penyertaan jauh lebih rendah berbanding BERSIH 4.0, telah dijadikan senjata paling kerap digunakan.

Ahli-Ahli Parlimen DAP seperti Nga Kor Ming begitu seronok menggunakan hujah tersebut walaupun di dalam posting dan maksud postingnya, terselit kebimbangan tentang kebangkitan dan penyatuan sebenar orang Melayu.

Itulah sebabnya, apabila gambar Nik Abduh dalam demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad disiarkan, mereka terdiam seketika.

Gambar tersebut adalah gambar demonstrasi anti-GST tidak lama dahulu tetapi telah digunakan semula sebagai perang psikologi kepada DAP dan para penyokong mereka.

Begitu juga apabila diberitakan Nik Abduh berada di Padang Merbok, golongan pro-DAP serta-merta memaki hamun Nik Abduh dan PAS walaupun akhirnya mereka dengan penuh bangga dan lega melaporkan, Nik Abduh telah sampai ke Kota Bharu dan pada masa yang sama, begitu seronok menviralkan kenyataan Nik Abduh yang dia tidak berada di dalam Himpunan Baju Merah.

Sesuatu yang tidak disebut oleh pro-DAP ialah bagaimana Himpunan Baju Merah membuatkan mereka gentar sehingga terpaksa menutup kedai dan operasi perniagaan sepanjang hari. Malah mereka juga tidak mampu untuk menyebut bahawa tanpa anggota-anggota dan pasukan PDRM yang berkawal sehingga ke tengah malam tadi, yang mereka kerap labelkan sebagai BARUA UMNO atau ANJING UMNO, besar kemungkinan hari ini, cerita yang terpapar kepada kita adalah berbeza sama sekali.

Namun di sebalik 'kejayaan' ini, satu perkara besar yang mungkin gagal diperhatikan oleh UMNO sendiri.


Apa yang sudah berlaku kepada UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur? Sedangkan Himpunan Baju Merah kononnya dianjurkan oleh seorang Ketua UMNO Bahagian di Selangor, mendapat sokongan kononnya daripada 30,000 orang pengikutnya selain pengikut-pengikut Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju?

Mana kononnya 5000 orang pengikut Jamal Mohd. Yunos yang telah berada dan akan menawan Bukit Bintang pada tengah hari 16 September tetapi apabila ditanya oleh Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Zaidi Mohd Said, berdalih kononnya para pengikutnya telah berkumpul di Jalan Conlay. Dan apabila disergah oleh Zaidi bahawa yang berkumpul di Jalan Conlay adalah dia sendiri bersama-sama Baju Merah yang dipimpinnya, Jamal segera mengelak dan melarikan diri.

Jamal kemudiannya dan akhirnya mengaku bahawa kejayaan Himpunan Baju Merah adalah miliknya dan dia juga adalah penganjur. Pada ketika itulah, kekecohan tercetus di hadapan pintu masuk Petaling Street setelah provokasi dilakukan oleh upahan DAP yang menyamar sebagai Baju Merah dengan ungkapan, 'MELAYU BODOH' sekaligus menimbulkan kemarahan dan cubaan merempuh. Setelah terlajak mengaku sebagai penganjur, Jamal terpaksa ke lokasi dan memujuk sambil menyatakan satu lagi demonstrasi Baju Merah akan diadakan di Petaling Street sekiranya KPDNKK tidak mengambil tindakan ke atas para peniaga yang menipu di Petaling Street. 

Tanpa bas-bas dan penyertaan dari luar Selangor dan Kuala Lumpur, besar kemungkinan Himpunan Baju Merah tidak ubah seperti perhimpunan pagi murid-murid sekolah rendah sahaja.

Itu adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Hampir kesemua yang datang adalah dari luar kawasan terutama Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sebahagian pula datang dari beberapa negeri lain. Penyertaan daripada Kuala Lumpur dan Selangor terlalu kecil bilangannya.


Itu adalah hasil daripada tinjauan dan kenyataan daripada beberapa orang ketua-ketua unit yang ditempatkan di beberapa lokasi atau check point berkumpul. Kesemuanya sependapat bahawa Jamal Mohd. Yunos gagal mengotakan janjinya untuk menyediakan 5000 orang apatah lagi 30,000 orang sebagaimana yang didakwanya. Malah pengakuannya sekadar pengakuan untuk bermegah-megah.

Mungkin hujah 'HIMPUNAN BAJU MERAH BUKANNYA HIMPUNAN UMNO' boleh digunakan. Tetapi keterkaitan Melayu dengan UMNO sendiri tidak boleh ditolak atau dinafkan. Apatah lagi kepala penganjurnya sendiri adalah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor.


Kegagalan Selangor dan Kuala Lumpur untuk mengumpulkan orang Melayu dalam Himpunan Baju Merah yang berlangsung aman semalam, diperkatakan secara meluas di kalangan yang hadir. Malah salah seorang Ketua Puteri di salah satu Bahagian yang berjiran dengan Ampang yang ditemui pun berkata, kalau mereka berjaya mengumpulkan 200 orang pun, mereka sudah boleh mencabar Ketua UMNO Bahagian berkenaan pada pemilihan akan datang.

Ternyata Selangor dan Kuala Lumpur sangat longlai.

Teryata, di sebalik 'kejayaan yang membanggakan itu', terselit kedukaan besar buat UMNO Selangor dan Kuala Lumpur yang gagal menyaingi Melayu-Melayu dari negeri-negeri lain yang berkumpul untuk Himpunan Baju Merah 916!


1 comment:

  1. Jamal Yunos tak boleh pakai punya , auta je lebih ...

    ni manusia jangan bawa demo seterusnya, duit dia sakau , dia hilang entah kemana , mamposss

    ReplyDelete