Peguam-peguam syariah tersebut mendesak agar Rafizi Ramli menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka, berhubung andaiannya hakim-hakim mahkamah syariah makan rasuah kerana RUU355.
Presiden PGSM, Musa Awang berkata, dakwaan Rafizi Ramli itu adalah tidak berasas dan berniat jahat.
"PGSM boleh mengesahkan bahawa semenjak Mahkamah Syariah ditubuhkan, hanya satu kes di mana hakim mahkamah syariah didapati terlibat dalam rasuah. Itu pun tidak membabitkan jumlah wang yang besar," kata Musa.
Isnin lalu, Rafizi terlibat dalam debat parlimen olok-olok yang dianjurkan oleh Pembangkang berhubung Usul Persendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang dikenali sebagai RUU355.
Kata Rafizi, pindaan yang dicadangkan oleh Abdul Hadi Awang ke atas Akta Mahkamah Syariah (Kanun Jenayah) tidak akan meningkatkan gaji hakim-hakim mahkamah tersebut, sekaligus akan mewujudkan risiko pengambilan rasuah atau salahguna kuasa di kalangan hakim-hakim berkenaan.
Kenyataan Rafizi Ramli itu jelas memperlihatkan niatnya untuk memperemeh-remehkan bahkan menghina institusi mahkamah syariah termasuklah hakim-hakim mahkamah syariah.
"Sehubungan dengan itu, PGSM mendesak Rafizi Ramli untuk menarik kembali tuduhan dan kenyataan tidak berasasnya selain membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua hakim-hakim mahkamah syariah dan semua umat Islam," kata Musa.
No comments:
Post a Comment