SIBU: Tiga laras senapang dan sepucuk pistol tiruan antara beberapa senjata berbahaya berjaya dirampas sepasukan polis D4 di sini daripada seorang suspek lelaki di sebuah rumah di Jalan Au Yong awal pagi semalam.
Dalam serbuan diketuai Inspektor Mohd Firdaus Safuan pada jam 1.30 pagi itu, polis terpaksa menunggu di luar rumah dalam keadaan hujan hampir setengah jam sebelum memasuki rumah suspek.
Suspek berumur 23 tahun dikatakan menjenguk seketika dari tingkat atas dan masuk semua ke dalam bilik setelah menyedari kehadiran polis.
Polis terpaksa memanjat masuk melalui tingkap bilik atas untuk mencari suspek menyebabkan sistem penggera berbunyi.
Bagaimanapun, polis mendapati tiada orang di dalam dua bilik di tingkat atas semasa melakukan pemeriksaan pada awalnya.
Polis hanya menemui tiga orang termasuk ibu dan dua adik suspek semasa melakukan pemeriksaan lanjut di bilik ketiga di tingkat atas.
Apabila polis memperkenalkan diri dan memaklumkan tujuan mereka adalah untuk mencari anak lelakinya, ibu suspek cuba menafi dengan menyatakan anak lelakinya tidak berada di rumah.
Namun helah ibu suspek gagal, setelah pasukan polis mendapati suspek bersembunyi dalam berselimut di bawah katil.
Suspek kemudian diarah keluar dan dibawa masuk ke dalam biliknya.
Pemeriksaan lanjut polis berjaya menjumpai tiga laras senapang tiruan dan sepucuk pistol juga tiruan, satu bekas plastik mengandungi pelet berwarna oren dan sebilah pisau ‘Rambo’ di dalam almari di dalam bilik suspek.
Menurut sumber polis, suspek sebelum ini bergiat aktif dalam kes curi motosikal pada 2009 dan 2010 sebelum dihantar ayahnya pergi ke Singapura.
Bagaimanapun, suspek tidak serik-serik apabila bercampur semula dengan geng pecah rumah sejak pulang ke bandar ini pada tahun ini.
Suspek dipercayai terlibat dalam kes curi barang dalam bangunan dan kes pecah rumah di Permai bulan lepas selepas polis MPV berjaya menahan seorang lelaki ber-bangsa Cina dan merampas kereta pacuan empat roda hitam.
Ketika itu, dua rakan suspek berjaya meloloskan diri namun suspek kedua berjaya ditangkap di kawasan bandar baru-baru ini.
Dengan penangkapan suspek, polis percaya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di sekitar bandar ini.
Kes tersebut dijangka disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
No comments:
Post a Comment