Pages - Menu

Monday, 20 April 2015

DRAMA KIPAS HIKMAT SEMAKIN RANCAK DI PERMATANG PAUH... KELIBAT WAN AZIZAH SEMAKIN KERAP TERLIHAT!


Asal ada Pilihanraya saja, kipas hikmah pun muncullah bersama-sama pemiliknya. Buah tangan dan hujahnya yang mewajarkan kehadiran kipas hikmah itu pun adalah skrip yang biasa iaitu menagih kasih sayang dan perhatian untuk suaminya, Anwar Ibrahim yang telah dipenjarakan kerana didapati bersalah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya sendiri.

Dengan rekod perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh yang kemudiannya dipersembahkan untuk suami tersayang, kemudian sebagai ADUN Kajang yang tidak pernah ada apabila diperlukan, cuma tunjuk muka untuk dirakam kamera, Wan Azizah muncul bersama-sama anak perempuannya di Permatang Pauh bagi meraih sokongan buat dirinya atau calon PKR untuk PRK Permatang Pauh.

Permatang Pauh telah dijadikan hak peribadi keluarga Anwar Ibrahim. Dari tahun 1982 sehingga sekarang, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah bersilih ganti. Kononnya kalau Wan Azizah tak bertanding, calonnya tetap datang dari keluarga Anwar Ibrahim juga. Atau paling kurang, sahabat atau macai Anwar Ibrahim yang boleh membentangkan karpet merah apabila Anwar bebas dari penjara 5 tahun lagi.

Apa yang pengundi-pengundi di Kajang dapat selepas mereka memilih Wan Azizah? Adakah hanya dengan semangat dan keseronokan melihat tumbangnya calon BN, sudah cukup bagi mereka berpesta pora, tetapi penduduk pula dari semasa ke semasa mengeluh tentang wakil rakyat mereka yang sukar dihubungi apabila timbul masalah di kalangan penduduk. 


Dari tahun 1982, berapa kali Wan Azizah menjenguk pasar malam di Permatang Pauh? Ramai yang masih ingat, Wan Aziah tidak pernah nampak muka atau bertanya khabar apabila suaminya balik ke Permatang Pauh. Anwar sendiri cuma balik apabila mahu berceramah. Pelbagai janji ditabur tetapi Permatang Pauh tetap juga seperti Permatang Pauh sebelum Anwar Ibrahim menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh bermula 1982 lalu walhal setiap tahun ada peruntukan kerajaan di kawasan berkenaan. 

Amaran daripada PAS Permatang Pauh yang berjanji akan menentang Wan Azizah mahupun mana-mana anggota keluarga Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai calon PRK Permatang Pauh, cuba dipandang remeh oleh Wan Azizah dan PKR. Rafizi Ramli dalam kenyataan kerasnya, memberi amaran dan mengugut PAS agar membantu PKR di Permatang Pauh atau bakal berhadapan dengan tindakan paling keras daripada PKR dan DAP.


Barangkali kerana itulah, Wan Azizah cuba menipu kononnya dia telah mendapat persetujuan daripada Ketua PAS Permatang Pauh yang perbincangan mereka menghasilkan resolusi, PAS Permatang Pauh akan membantu Wan Azizah dan PKR di Permatang Pauh. Wan Azizah cuba berlakon konon-kononnya segalanya berlangsung dengan baik dan dia boleh menggunakan dirinya sebagai benteng dan peraih simpati.

Sampai bila Wan Azizah akan terus berlakon dan berlakon dengan kipas hikmatnya?


1 comment:

  1. Aku cadangkan PAS letak calon kat Permatang Pauh , PKR menang pun pasal penyokong PAS , Amacam

    ReplyDelete