Pages - Menu

Wednesday, 5 April 2017

Sebaran Maklumat Tentang Taktik Terbaharu Curi Kereta Guna Kertas Yang Dilekatkan Di Cermin Belakang Kenderaan Adalah PALSU



Satu sebaran maklumat palsu melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp menggunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) kononnya terdapat taktik terbaharu mencuri kereta menggunakan kertas yang dilekatkan di cermin belakang kenderaan adalah palsu.

Dalam mesej yang tersebar itu, menyatakan modus operandi dilakukan penjenayah untuk mencuri kenderaan.

“Sedarlah semua! Tolong sebar2kan..... Kita berjalan menghampiri tempat parking, membuka kereta dan masuk ke dalamnya. Kita start engine kereta dan bersedia untuk berundur.

“Bila kita melihat cermin belakang untuk melihat kawasan belakang, kita dapati ada kertas yang melekat di tengah-tengah cermin belakang menghalang pandangan kita. Jadi, kita parking balik kereta, buka pintu dan keluar untuk menanggalkan kertas (atau apa jua benda) yang menghalang penglihatan kita tadi.

“Bila anda sampai ke bahagian belakang kereta, pada masa itulah pencuri itu akan keluar dari tempat sembunyinya, masuk ke dalam kereta dan memecut pergi,” katanya dalam mesej viral tersebut.

FAKTA

Sementara itu, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan, menafikan ada mengeluarkan kenyataan sebegitu selain semakan polis mendapati tiada kejadian seumpama itu berlaku.

“Kita meminta supaya sebaran maklumat palsu tersebut dihentikan serta-merta kerana ia boleh menimbulkan rasa ketakutan di kalangan masyarakat.

“Bagaimanapun, orang ramai khususnya wanita yang keluar bersendirian supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling,” katanya.

SUMBER

No comments:

Post a Comment