Dan seperti biasa, apabila kalah, maka kalah jugalah dalam segala segi termasuklah moral. Bekas-bekas pemimpin kerajaan negeri, semuanya bertukar menjadi pasif. Selama hampir tiga tahun, tiada sebarang gerak kerja UMNO Negeri mahupun Barisan Nasional Negeri.
Tidak banyak harapan yang diberikan kepada UMNO dan Barisan Nasional Kedah pada PRU-13. Tambahan pula, PAS Kedah dengan Allahyarham Ustaz Azizan sebagai jurukemudinya dianggap terlalu ampuh dan kuat untuk ditumbangkan.
Bagaimanapun, perjalanan peristiwa di Kedah menunjukkan beberapa orang pemimpin PAS seperti Phahrolrazi Zawawi pula kemaruk hendak menjadi Menteri Besar Kedah selepas beberapa isu melibatkan pemberian projek Kerajaan Negeri menimbulkan kekecohan, terutama selepas Allahyarham Tan Sri Azizan dikatakan mengurniakan projek penyelenggaraan jalanraya kepada syarikat berkaitan UMNO dan bukannya kepada syarikat yang dinaungi oleh Phahrolrazi Zawawi yang telah mendapat projek sehingga ke Johor sebelum itu.
PAS Kedah berkecamuk ketika hampir PRU-13. Beberapa pendedahan tentang pembalakan, penerokaan tanah secara haram, pencurian pasir dan mineral, serta rampasan kegagalan menggunakan peruntukan dari Kerajaan Pusat termasuklah MARIS dan untuk PBT bagi menyelenggara serta memperbaiki jalanraya, seperti garam dan air limau yang disimbah ke luka di badan.
PAS Kedah berpecah. Mat Sabu masuk menaburkan jarum di kawasan yang dirasakannya sebagai kubu kuat yang penuh penyokongnya iaitu di Pendang. Namun, rakyat Kedah telah membuat keputusan iaitu menukar kepimpinan negeri kembali kepada Barisan Nasional-UMNO pada PRU-13.
Usaha meyakinkan para pengundi Kedah untuk berkalih sebenarnya bukannya mudah. UMNO Kedah bergerak tanpa sebarang dana. Bendahari yang dijawat oleh Mukhriz ketika itu langsung tidak berfungsi. Ahmad Bashah yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah bersendirian dalam usaha untuk menghidupkan dan mendanakan kerja-kerja kempen di Kedah. Semua usaha mencari dana ditumpukkan ke kepala Ahmad Bashah seorang diri dengan bantuan daripada beberapa orang pemimpin lain termasuklah Mahdzir Khalid.
Ketika itulah, nama Mukhriz Mahathir sedang menjulang terutama apabila dia gagal dalam cubaannya untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Naib Presiden UMNO Malaysia. Dan seperti biasa, Mukhriz segera dijadikan sebagai 'IMAM MAHDI UMNO' untuk merampas Kedah dari PAS walaupun pada masa yang sama, rungutan tentang sikap pasif Mukhriz terutama dalam kerja-kerja kempen dan publisiti, turut kedengaran.
Berbekalkan nama bapanya, Mukhriz dihantar ke Kedah setelah sebelumnya dia menang di Parlimen Jerlun ketika banyak Parlimen yang dikuasai UMNO sebelum PRU-11, tertungging di tangan lawan. Mukhriz pada mulanya dikatakan akan bertanding di DUN Bakar Bata, DUN yang telah dikuasai oleh Ahmad Bashah selama beberapa penggal. Namun ada perubahan pada saat-saat akhir apabila big boss di Putrajaya melihat perlunya UMNO mengekalkan penguasaan di Parlimen Jerlun dan DUN Ayer Itam, yang telah dimenangi pada PRU-11.
DUN Ayer Itam merupakan kubu kuat Dato Othman Abdul Aziz, salah seorang arkitek UMNO Kedah yang tidak banyak cakap dan tidak banyak mempublisitikan dirinya. Untuk memastikan Mukhriz benar-benar dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, akhirnya anak Tun Dr. Mahathir itu diletakkan di DUN Ayer Itam pada PRU-12, dalam pertukaran 'suka sama suka' dengan Othman Aziz.
Kedua-duanya berjaya menang di kedua-dua kerusi yang kebetulan pula hasil daripada kemahuan rakyat Kedah yang mahu menukarkan corak pentadbiran pasif PAS kepada yang lebih agresif, kalau tidak pun menyamai zaman Mahdzir Khalid atau Osman Arof.
Mukhriz diberikan pelbagai jawatan di Kedah tanpa perlu bersusah payah. Hanya kerana dia anak Dr. Mahathir, segala-galanya disiapkan untuknya. Malang buat rakyat Kedah yang sebelum itu, terpesona dalam mimpi dan ilusi serta cerita-cerita indah tentang sosok tubuh Mukhriz. Mereka terpedaya kerana Mukhriz sebenarnya tidak kelihatan berminat dengan jawatan Menteri Besar Kedah memandangkan tumpuan dan fokusnya di Kedah terlalu kecil berbanding tempoh dia berada di luar Kedah terutama menerusi penerbangan-penerbangan domestiknya saban minggu yang mulai diperkatakan oleh segenap rakyat.
Semenjak dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz langsung tidak melakukan apa-apa kecuali berjanji dan mengambil kredit atas usaha orang lain. Ada pihak yang menyatakan, Mukhriz berjaya menyatukan guru-guru pondok dan itu merupakan satu perkembangan yang sangat hebat di bawah pentadbirannya.
Malangnya, mereka terlupa bahawa segala bantuan kepada Sekolah-Sekolah Pondok malah menginstitusikan sekolah-sekolah pondok di bawah Kerajaan Negeri telah dimulakan pada zaman Mahdzir Khalid, dan diteruskan oleh Jamil Khir Baharom bermula dengan Pondok Pak Ya di Sungai Limau. Memandangkan pentadbiran agama dan institusi-institusi agama berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri, Mukhriz menjadi barisan hadapan untuk menjadi 'posmen'.
Perkara terbesar tentang Kedah adalah Kulim Hi-Tech Park yang sebelum pentadbiran PAS Kedah, merupakan kawasan pelaburan utama Kedah. Mukhriz telah menjanjikan bahawa Kulim Hi-Tech Park akan berubah apabila dia menjawat jawatan Menteri Besar. Begitu juga dengan bantuan untuk para penoreh getah dan pekebun kecil. Permasalahan banjir, pembalakan haram, pasir dan seribu satu masalah lain, akan diselesaikan di bawah pentadbirannya.
Lain pula yang berlaku. UMNO Kedah walaupun cuba menutup kegagalan Pengerusi Perhubungan mereka dengan memberi alasan, pendaftaran ahli berjalan dengan aktif, namun di beberapa kerusi DUN yang volatile yang dirampas daripada PAS pada PRU-13 lalu, usaha-usaha pengukuhan langsung tidak dilakukan. Pelbagai janji, hanya tinggal janji kerana Menteri Besar terlalu sibuk dengan masalah keluarganya.
UMNO Kedah sendiri terbahagi kepada beberapa fraksi dengan Ahmad Lebai Sudin, ADUN senior Bukit Lada yang bermasalah semenjak dari zaman Sanusi Junid sebagai Menteri Besar, memulakan langkah mengkritik keras kepimpinan Mukhriz.
Mukhriz sendiri gagal menyatukan dan meletakkan dirinya sebagai APEX kuasa UMNO Kedah. Beberapa kes di mana panggilannya untuk mesyuarat UMNO Negeri, menemui kegagalan. Malahan mesyuarat UMNO yang dipengerusikan oleh Mukhriz terpaksa diadakan di Kuala Lumpur, lokasi yang terletak hampir dengan rumah sebenarnya di Bukit Tunku.
Dalam keadaan apa pun, pentadbiran baru seharusnya menambah baik dan mengubah sesuatu yang tidak disukai oleh para pengundi sebelum itu. Bukannya meneruskannya. Malah perlu bekerja lebih kuat untuk bukan sahaja mengekalkan kuasa, tetapi juga menambahkan kuasa.
Berbeza dengan Mukhriz. Pendekatannya terlalu lembut dan lembik. Malah boleh dikatakan tiada langsung usaha-usaha ke arah itu sehingga memudahkan pula puak-puak PAN yang merupakan fraksi PAS meneroka banyak kawasan UMNO untuk dijadikan pangkalan.
Pertentangan antara Mukhriz dan Najib sebenarnya hanyalah satu alasan dan bahagian luaran. Hakikatnya, kaedah pentadbiran Mukhriz yang terlalu bertentangan daripada gambaran-gambaran indah sebelum dia menjadi Menteri Besar itulah, yang menimbulkan masalah besar kepadanya sendiri.
Apa yang dilakukan oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian Kedah itu sebenarnya hanyalah satu amaran keras kepada Mukhriz agar segera berubah bagi mengharungi baki tidak sampai 24 bulan untuk PRU-14 yang akan menjadi lebih sukar berbanding PRU-PRU sebelum ini. Walaupun ada kedengaran desakan agar Mukhriz berundur dan meletakkan jawatan, hakikatnya, kalau benar Ketua-Ketua UMNO Bahagian tersebut mahu merealisasikan perletakan jawatan dan pengunduran Mukhriz, mereka akan mula berkempen senyap-senyap ke atas ADUN-ADUN Kedah yang berjumlah 36 orang itu, bukannya membuat sidang media.
Apatah lagi, dengan Mukhriz sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku di sekelilingnya kerana terlalu bergantung maklumat kepada para pegawainya yang tidak akan berkesanggupan untuk menceritakan perkara sebenar.
Itulah yang berlaku apabila Mukhriz langsung tidak tahu tentang rancangan 15 orang Ketua-Ketua UMNO Bahagian Kedah yang berkumpul untuk membuat sidang media sehingga memaksa dia meninggalkan majlis secara terburu-buru selepas mendapat tahu pada saat-saat akhir.
Proses mengundurkan Mukhriz tidaklah semudah seperti yang tertera di atas kertas. Mukhriz sebenarnya masih mempunyai masa untuk memperbaiki keadaan dan dirinya. Tiada gunanya sekarang ini para pegawainya melolong mengajak rakyat bersama-samanya dengan alasan Mukhriz dilantik oleh rakyat sebagai Menteri Besar kerana hakikat sebenarnya adalah berbeza sama sekali. Mukhriz perlu memperbetulkan semula jadualnya, terutama sekali keberadaannya di Kedah termasuklah menyelesaikan banyak perkara berbangkit melibatkan rakyat dan UMNO Kedah sendiri.
Selagi Mukhriz beranggapan, dia tidak perlu berbuat apa-apa kerana terdapat pegawai-pegawai yang akan melaksanakan kerja-kerjanya, maka selagi itulah Mukhriz tidak akan berjaya. Malah akan menambahsulitkan lagi kerjaya politiknya walaupun ada juga yang cuba menyedapkan hati sendiri kononnya, Mukhriz tidak disenangi kerana 'kedekut' dan tidak suka membazir.