Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pasukan seumpama itu telah sedia dalam UMNO cuma peranannya sahaja tidak diperluaskan bagi memenuhi keperluan Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN BN secara menyeluruh.
Terdapat beberapa kes fitnah yang melibatkan pasukan peguam UMNO sebelum ini termasuklah kes-kes membabitkan Perdana Menteri dan isteri yang berakhir dengan 'penyelesaian luar mahkamah' serta permohonan maaf semata-mata. Sedangkan di pihak lawan pula, sebarang saman fitnah akan berakhir sama ada kalah atau menang, bayar atau sebaliknya.
“Kepada semua Yang Berhormat dan menteri-menteri, jika mereka merasakan telah difitnah dan portal-portal berita enggan menarik semula atau memperbaiki berita berkenaan, tindakan undang-undang adalah antara pilihan yang perlu diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerajaan juga akan mewujudkan satu entiti dipanggil 'Fact Check' yang berperanan untuk menyemak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli politik.
Jelas beliau, langkah penubuhan entiti itu adalah bagi memupuk persepsi yang lebih baik dalam perdebatan antara pihak politik di negara ini.
“Kita mahu membawa budaya debat berteraskan polisi, yang seterusnya akan memberi impak positif kepada negara pada masa depan, bukannya isu-isu remeh yang memenatkan kita semua,” katanya.
Terdahulu, semasa berucap dalam forum berkenaan, Abdul Rahman meminta supaya pihak universiti menjalankan kajian terhadap sikap rakyat Malaysia yang mempercayai sesuatu berita atau isu dengan hanya membaca tajuknya sahaja.
“Kerajaan United Kingdom telah menjalankan kajian dengan mendalam supaya dapat membawa mereka yang menyebarkan fitnah ke muka pengadilan,” katanya.
“Sehubungan itu, saya meminta pihak universiti supaya mengkaji bagaimana tajuk itu boleh mempengaruhi minda orang ramai tanpa membaca keseluruhan berita. Ini amat penting buat kerajaan bagi memahami apa yang orang ramai faham dan cari hanya berdasarkan tajuk,” katanya. (agenda daily)
0 comments:
Post a Comment