Kini, setelah Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelbagai jenis bantuan sehinggalah ke tahap membina rumah mereka semula, perangai lama mereka muncul kembali. Walaupun ada berita tentang buruknya perangai sesetengah daripada mereka yang berebut-rebut membolot bekalan makanan bantuan yang kemudiannya mereka jual, tetapi perangai bercakap besar mengatasi segala keburukan yang lain.
Sudah ada desakan agar perhatian oleh UMNO-BN, Kerajaan Persekutuan, NGO serta badan-badan sukarela termasuklah orang persendirian dialihkan dari Kelantan ke kawasan lain, terutama di Pahang, namun media-media masih lagi melaporkan tentang perhatian istimewa yang diberikan kepada Kelantan.
Kelantan seharusnya dibiarkan begitu sahaja. Biarkan mereka hidup susah kerana kesusahan telah menjadi suatu keperluan kepada mereka dalam menyuburkan benih-benih politik yang bertopengkan agama. Apatah lagi kebanyakan orang Kelantan yang pandai bercakap, tidak berada di negeri sendiri. Mereka bercakap pandai tentang pentadbiran negeri yang perlu lebih Islam, sedangkan mereka sendiri berlindung, mencari rezeki dan menetap di negeri-negeri lain, khususnya di negeri-negeri yang ditadbir oleh UMNO-BN.
Dari Perlis sehinggalah ke Sabah, di mana-mana sahaja ada orang Kelantan yang pandai bercakap tetapi mereka sendiri enggan pulang untuk membangunkan negeri sendiri. Mereka sekadar pandai bercakap dan menunjuk ajar dari luar Kelantan. Mereka mahukan Islam kononnya untuk mereka yang masih menetap di Kelantan sedangkan mereka sendiri enggan terlibat di negeri sendiri.





