Satu lagi kes serangan, rompakan dan penculikan telah berlaku di Sabah meskipun ESSCOM dan beberapa agensi keselamatan lain dikatakan ketat mengawal perairan Sabah. Kaum peguam yang merupakan ahli Majlis Peguam dan puak Pakatan Rakyat yang cukup kuat menentang undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, langsung tidak bersuara sebaliknya cuba menyalahkan pihak keselamatan berhubung kes baru ini.
Antara kepincangan dalam kelonggaran undang-undang kawalan selepas Akta ISA dihapuskan ialah, sesuatu kejadian jenayah tersebut perlu terlebih dahulu terjadi kerana selagi tidak berlaku kejadian tersebut, pihak keselamatan tidak boleh menangkap atau menahan suspek kerana dianggap tidak ada bukti. Bila tidak ada bukti, maka tidak boleh menangkap atau menahan atau mencegah.
Barter trade yang telah dijalankan secara tradisi di wilayah yang bersempadan dengan selatan Filipina juga, turut memberikan kebebasan kepada penjenayah dan lanun warga Filipina untuk menjarah serta menceroboh wilayah serta keselamatan Malaysia.
Sudah banyak cadangan agar perniagaan barter trade dihentikan dan secara tidak langsung, pemberhentian tersebut akan turut menyekat kemasukan secara bebas lanun dan penjenayah yang menyamar sebagai pedagang barter trade. Namun disebabkan sikap tamak dan kabur mata untuk untung cepat, banyak pula pihak yang tidak bersetuju barter trade dihentikan. Alasan yang diberikan adalah menjana ekonomi.
Menariknya, menjana ekonomi yang dimaksudkan adalah BALIK-BALIK KENA CULIK dan PELANCONG SEMAKIN TAKUT untuk melancong di kawasan terbabit. Harga tebusan pula bukannya semakin lama semakin kecil bahkan semakin tinggi.
Cadangan pemberhentian amalan barter trade dilihat sebagai merugikan beberapa pihak kerana komisyen yang menjadi punca kemewahan mereka, turut berhenti.
Dalam kejadian terbaru, iaitu berlaku pada jam lebih kurang 7:50 malam di Restoran Ocean King, sekumpulan lelaki bersenjata warga Filipina yang datang dengan menaiki bot, telah merompak dan menculik seorang lelaki dan seorang wanita.
Thien Nyuk Fun, wanita berusia 48 tahun dan pelancong dari Sarawak berumur 50 tahun dilarikan sekumpulan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan M16 dengan dua lagi suspek menunggu di bot.
Ketika kejadian, wanita yang juga adik ipar kepada pemilik restoran berkenaan berada di kaunter, manakala lelaki terbabit berada di meja makan bersama isteri dan seorang rakan.
Difahamkan, kumpulan bersenjata terbabit muncul secara tiba-tiba dari arah laut dan hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk melarikan kedua-dua mangsa dengan sebuah bot laju.
Mereka kemudian dilihat melarikan diri ke arah perairan antarabangsa, dipercayai menghala ke negara jiran.
Pengurus restoran, Chung Yun Thiam, 60, berkata ketika kejadian ada kira-kira 80 pelanggan sedang menikmati makan malam sebelum tiba-tiba muncul empat lelaki bersenjata terbabit.
Katanya, semua lelaki terbabit memakai pakaian celoreng tetapi tidak bertopeng dengan seorang daripadanya membawa senapang jenis M16 dan peluru disangkut pada badannya.
"Menyedari kehadiran empat lelaki bersenjata itu, semua pelanggan lari untuk menyelamatkan diri, namun mangsa wanita dan lelaki berkenaan tidak sempat lari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Seperti biasa, apabila berlaku kejadian berulang seperti itu, Pesuruhjaya Polis Sabah sekadar menyatakan, pihaknya masih menyiasat dan mengkaji fakta kejadian. Yang pasti, ESSCOM dan PDRM sekali lagi akan menjadi mangsa belasahan dan kemarahan ramai berhubung peristiwa penculikan berulang di Sabah membabitkan lanun-lanun dari Selatan Filipina.
0 comments:
Post a Comment