PUTRAJAYA: Tiga anak perempuan yang kematian bapa dikatakan akibat
ditembak polis, dianugerah sejumlah RM351,000 sebagai ganti rugi oleh
Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Mahkamah itu membenarkan
tuntutan mereka atas kehilangan tempat bergantung berikutan kematian
tersebut akibat tindakan polis itu.
Panel tiga hakim
dipengerusikan oleh Hakim Datuk Linton Albert sebulat suara membenarkan
rayuan itu yang dikemukakan oleh tiga anak perempuan berkenaan,
Nurasmira Maulat Abdul Jaffar, Siti Asma Abdul Jaffar, dan Siti Fatimah
Abdul Jaffar bagi mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman
sivil mereka terhadap Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia dan pegawai
polis ASP Ong Seng Keong.
Dua hakim lagi ialah Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer dan Hakim Vernon Ong Lam Kiat.
Dalam
penghakiman 31-halaman, Hakim Hamid berkata sering disebut bahawa
undang-undang Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan
pegawai polis membunuh suspek dan penjenayah yang digeruni menerusi
pertembungan 'palsu'.
"Polis dibayar gaji menerusi dana awam dengan tugas utama menangkap penjenayah dan mengemukakan mereka untuk perbicaraan.
"Mereka
tidak boleh dibiarkan berkeliaran menembak sesuka hati kerana ini
melanggar peraturan undang-undang dan pihak berkuasa mesti menyekat
pelanggaran ini dengan serius," kata beliau.
"Sering diperkatakan
bahawa pasukan polis tidak diberikan kuasa 'menjalankan hukuman' dengan
alasan untuk mempertahan diri," kata Hakim Hamid.
Panel itu
menganugerahkan RM51,000 sebagai ganti rugi kerana kehilangan tempat
bergantung dan RM300,000 ganti rugi teladan, serta kos RM50,000 untuk
proseding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi kepada anak perempuan
itu berusia 15, 8 dan 7 tahun yang menerusi ibu mereka Abra Bibi Shahul
Hamid mengemukakan saman tersebut, akibat kematian Abdul Jaafar Abdul
Mutalib, 38.
Hakim Hamid berkata, mahkamah sentiasa mengingati
pengorbanan anggota polis dalam memelihara undang-undang dan peraturan
dan dalam proses itu berlaku kejadian malang mengorbankan nyawa
pegawai-pegawai polis dalam pertembungan tulen.
"Apa yang
memualkan dan perlu dikutuk ialah pertembungan palsu sebagaimana
ditunjukkan oleh fakta kes prima facie berkenaan dan kegagalan pihak
berkuasa mendisiplin pegawai seumpama itu dan lebih teruk lagi mendakwa
untuk mempertahan diri di bawah Akta Polis yang tidak relevan dengan
pembunuhan," kata beliau.
Beliau berkata peguam kanan persekutuan
yang mewakili responden telah juga gagal menarik perhatian mahkamah
terhadap sebarang undang-undang yang memberi kuasa kepada polis hak
untuk menembak bila muncul di depan mata atau sebarang undang-undang
berkaitan pertahanan diri atau pematuhan sebarang Prosedur Operasi Khas.
Hakim
Hamid juga berkata mahkamah mempunyai tugas dari segi perlembagaan
menangani "tindakan berlebihan polis" dan menyediakan input atau arahan
perlu untuk tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa relevan demi
menentukan peraturan undang-undang dipelihara setiap masa.
Dalam
insiden berkenaan, si mati, seorang penarik kereta, sedang duduk di
kerusi penumpang bahagian hadapan sebuah Proton Waja bila tiba-tiba
kenderaannya dan sebuah kenderaan lain diserang hendap oleh pasukan
Gerak Khas polis dekat sebuah stesen petrol di Batu 3, Shah Alam pada 2
September, 2008.
Polis mendakwa kereta-kereta berkenaan bergerak dalam "keadaan mencurigakan".
Polis,
bagaimanapun berkata, mereka melepaskan tembakan untuk mempertahan diri
setelah tembakan dilepaskan ke arah mereka dari arah Proton Waja
mengakibatkan lelaki berkenaan maut dengan enam kesan tembakan, dan tiga
orang lain yang juga berada dalam kereta itu.
Mereka (polis) tidak mempertikai pembunuhan itu tetapi berkata ia dilakukan untuk mempertahan diri. - BERNAMA